Khamis, 22 Julai 2010

Salam,
Perkembangan terbaru berkenaan SHO sangat hebat diperkatakan. Malah isu yang hangat ini bukan hanya membakar api kemarahan sebilangan SHO tetapi juga terdapat segelintir SHO melihat ini sebagai peluang memperbaiki diri. Terpulang bagi kita untuk menilai sejauh mana perkembangan ini akan menjejaskan masa hadapan SHO. Tetapi yang pasti, OSHA 1994 tidak akan terlaksana sekiranya bantahan dari pihak industri pada masa itu yang mengatakan Malaysia belum bersedia untuk menghasilkan SHO, diambil kira dan terbantutlah suatu Akta yang mampu menjaga pekerja di Malaysia suatu masa dahulu.

Jika kita melihat disudut yang terpencil, perubahan ini bukan sahaja menjadi igauan SHO malahan ianya mampu menutup periuk nasi SHO yang sudah sekian lama selesa. Berbalik kepada misi untuk memartabatkan SHO, langkah harus diambil dan biasanya ia akan mendapat tentangan. Cuba kita lihat 10 tahun akan datang, tatkala seorang SHO dari Malaysia berdiri di suatu forum antarabangsa, dia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah kerana, kompetennya beliau, dia diukur dari segi pelajaran, pengalaman dan kemahiran (OHSAS18001 : Competence :education, experience and skill) yang digarap sepanjang menjadi SHO. Ini terhasil apabila dia menyahut cabaran pada tahun 2010, mencari dan berusaha memperbaiki diri. Berpelajaran tetapi tidak berpengalaman, berpelajaran dan berpengalaman tetapi tidak mempunyai kemahiran; maka lahirlah SHO yang mempunyai berjuta konfigurasi yang cuba memenuhi ketiga-tiga elemen tersebut. Tetapi, seorang SHO yang berpelajaran, berpengalaman dan berkemahiran pasti akan melakar sejarah dalam dunia SHO yang kian mencabar. Jangan kita halang peluang SHO muda untuk berjaya. Jika kita sudah tidak mampu memiliki ketiga-tiganya atas desakan berbagai halangan; salurkan ilmu, pengalaman dan kemahiran yang ada kepada mereka agar sekurang-kurangnya mereka mampu mencapai matlamat SHO dihormati dan disegani. TAKUT BERKONGSI!; ilmu hanya pinjaman semata.

Ada diantara kita berusaha dan menjalankan berbagai cara bagi menghasilkan suatu formula bagaimana untuk membolehkan perkembangan baru ini menjadi satu realiti (syabas saya ucapkan). Tetapi tidak kurang juga yang cuba memberikan pandangan terhadap sesuatu yang belum tentu hasilnya sehingga matlamat menjadikan SHO seorang insan yang disegani dan dihormati dimata majikan terhenti tanpa diberikan peluang yang sepatutnya.

BERHATI-HATI saudaraku, tatkala suatu kaum sibuk mengadu domba, akan ada suatu kaum pula mencuri peluang untuk berada kehadapan dan menyahut seruan perubahan ini. Kita yang bakal menyesal suatu hari nanti. Jangan kita cemburu apabila ada diantara kita mendapat kelebihan, lebih daripada kita; yang mana hasilnya adalah kita merasa tertekan dengan apa yang mereka perolehi. Sebaliknya biar rasa cemburu itu menerbitkan suatu idea/jalan untuk mengetahui bagaimana dia berhasil mencapai kelebihan dan berusaha kearah itu; yang mana hasilnya kita juga mungkin akan mendapat kelebihan yang sama.

Cuba berikan sedikit masa untuk kita berfikir "Dimana saya berada" dan lakar peluang yang ada dengan bertanyakan diri "Kemana harus saya tuju". Saya berkeyakinan penuh, SHO di Malaysia punyai jati diri yang tinggi untuk menyahut cabaran ini. Doa saya, agar semuanya berjalan lancar dan harapan melihat SHO dipandang mulia akan terlaksana. Amin.

Regards
Mapis Md.Jais